KUALA LUMPUR 28 Jan. – Pelantikan anak Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebagai Ahli Lembaga Pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) disifatkan sebagai tiada kaitan dengan Kementerian Kesihatan.
Dzulkefly malah memberitahu telah pun membuat penjelasan berhubung pelantikan anaknya, Nurul Iman ke AIM sejak April tahun lalu, sebelum ini.
“Saya dah buat penjelasan bila anak saya dilantik. Saya pun tidak tahu dia meninggalkan jawatan lama di Universiti Taylor.
“Nanti dia boleh cerita bagaimana dia jalankan tugas di AIM. Dia juga sudah buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya seperti dipetik portal berita Free Malaysia Today hari ini.
Dzulkefly berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Skim Peduli Kesihatan untuk golongan berpendapatan rendah (B40) iaitu Peka B40 di Putrajaya hari ini.
Kontroversi membabitkan AIM sebelum ini tercetus selepas pelbagai pihak mempertikaikan pelantikan isteri kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya iaitu Datuk Junaidah Kiting sebagai Pengerusi AIM.
Pelantikan Nurul Iman sebagai Ahli Lembaga Pengarah AIM pula terus menghangatkan lagi isu tersebut apabila ramai pihak mengaitkannya dengan amalan kronisme.
Namun begitu, Junaidah dalam satu kenyataan sebelum ini menolak dakwaan kronisme sebaliknya berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman dan bakat yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan sesebuah organisasi.
Dzulkefly dalam status Twitter miliknya Jumaat lalu pula mahu anaknya berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk meneruskan tugas sebagai Ahli Lembaga Pengarah AIM itu selepas dipertikaikan sesetengah pihak.
“Saya minta Nurul Iman fikirkan sebaik-baiknya. Sebagai seorang profesional, saya yakin beliau lebih tahu sebab penglibatannya sejak April 2018 dan mampu untuk membuat keputusan sewajarnya,” jelas beliau dalam Twitter. – UTUSAN ONLINE










