Kemenangan BN tidak mengejutkan - Utusan Malaysia

Kemenangan BN tidak mengejutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 28 Jan. – Dr. Mahathir Mohamed menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands tidak mengejutkan.

Menurut Perdana Menteri, parti itu sememangnya kuat di kawasan luar bandar selain memainkan isu perkauman dan peningkatan kos hidup untuk mencapai kemenangan.

“Itu keputusan rakyat di Cameron Highlands dan kita terimanya.

“Peningkatan kos hidup tidak memberi apa-apa makna kepada golongan kaya tetapi memberi kesan besar kepada golongan miskin.

“Golongan miskin ini tinggal di kawasan luar bandar dan kita mesti mencari jalan untuk mengurangkan kos hidup dan membantu meningkatkan pendapatan mereka,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Eksekutif Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan (BBP) Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar.

Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bahawa ramai pengundi masih mengingat Perdana Menteri adalah BN antara faktor kekalahan Pakatan Harapan, Dr. Mahathir mengakui perkara tersebut.

“Yang tu ada juga, masing-masing masih ingat saya ni BN, jadi tak apalah. Kalau dia ingay apa-apapun akhirnya dia akan tahu juga,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan badan-badan berkanun bahawa mereka merupakan kerajaan kecil dan mestilah bertanggungjawab serta menguruskan kerja seperti sebuah kerajaan.

Program BBP yang julung kalinya diadakan itu dihadiri 260 peserta terdiri daripada pengurusan eksekutif tertinggi daripada 132 BBP di seluruh negara.

Dalam sesi amanatnya itu, Perdana Menteri menyarankan supaya BBP menyemak semula model bisnes masing-masing supaya sejajar dengan fungsi dan mandat yang ditetapkan.

BBP juga dikehendaki menilai semula kedudukan anak syarikat masing-masing supaya tidak lari daripada mandat BBP itu sendiri.

BBP turut disaran mencapai kelestariann kewangan kerana sebahagian besar BBP masih bergantung kepada geran mengurus dan pembangunan daripada kerajaan berjumlah RM19.1 bilion pada tahun ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×