SEPANG – Seorang lelaki dan perempuan dipercayai pasangan suami isteri maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 1.13 petang itu, mangsa, Norwahidah Abdul Hamid, 28, ditemui di atas katil sebuah bilik manakala Wan Baharul Nizam Wan Bakar, 35, berada di dalam bilik air.
Ketua Balai Bomba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khairuddin Jamaludin berkata, ketika kejadian hanya terdapat dua orang dalam rumah tersebut.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.14 petang dan seramai 13 anggota serta seorang pegawai dikejarkan ke tempat kejadian untuk memberi bantuan.
“Mangsa lelaki sempat diberikan rawatan oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan namun ambulans Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Khairuddin berkata, kebakaran berjaya dipadamkan pada pukul 1.55 petang.
Menurutnya, jenazah kedua-dua mangsa yang merupakan kakitangan di Jabatan Pedaftaran Negara (JPN) itu dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.
Norwahidah dan Wan Baharul Nizam dijangka akan melangsungkan majlis resepsi perkahwinan secara berasingan pada 2 dan 6 Februari ini. – K! ONLINE











