KUALA LUMPUR 28 Jan. – Hanya kerana memiliki dua biji pil erimin 5, seorang lelaki sanggup menggadai nyawa melarikan diri dari ditahan polis dalam kejadian di Jalan Kuching hingga Penchala Link di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy berkata, kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu berlaku apabila satu pasukan peronda terserempak sebuah Toyota Hilux hitam dalam keadaan mencurigakan ketika membuat rondaan di Jalan Kuching, di sini.
“Apabila diarahkan untuk berhenti, suspek bertindak memecut kenderaannya menghala ke arah Bangsar, Lebuh Raya Damansara Puchong, dan Bukit Kiara.
“Sejurus tiba di terowong Bukit Kiara dekat Penchala Link, kenderaan tersebut beberapa kali cuba menghimpit pasukan peronda polis serta mencampak sesuatu objek sehingga terkena di bahagian rim kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Shanmugamoorthy berkata, akibat daripada tindakan suspek itu, anggotanya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar suspek menyebabkan kereta suspek terlanggar pembahagi jalan dan terhenti.
“Suspek kemudian cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan terhadapnya menemukan ketulan kristal disyaki dadah erimin 5.
“Lelaki berusia lewat 30-an tersebut mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Sentul untuk tindakan susulan,” ujarnya.
Tambahnya, semakan awal mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau. – UTUSAN ONLINE










