CAMERON HIGHLANDS 21 Jan. – Lebih 90 peratus pengundi awal yang terdiri daripada pegawai dan anggota polis dijangka menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, esok.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Ashari Abu Samah berkata, seramai 247 pegawai dan anggota yang terlibat dalam undi awal itu merangkumi mereka yang masih berkhidmat, telah bertukar lokasi kerja, bersara dan meletakkan jawatan atau dibuang kerja.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 232 orang akan mengundi di bilik maklumat Balai Polis Brinchang dan 15 orang lagi di Balai Polis Sungai Koyan.
“Kita wajibkan semua pegawai dan anggota polis untuk keluar mengundi di mana pegawai dan anggota yang berada di luar (bertukar) telah diberi arahan untuk hadir esok.
“Dijangkakan lebih 90 peratus pegawai dan anggota akan menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pusat Media PRK Cameron Highlands di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










