Anwar sokong keputusan kerajaan - Utusan Malaysia

Anwar sokong keputusan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Presi­den PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong pendirian Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia yang menghalang atlet Israel daripada bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak, Julai ini.

“Saya berpendapat kabinet menimbang perkara ini sebagai satu cara untuk menyatakan pendirian tegas terhadap pencabulan Israel terhadap Palestin.

“Mereka (Israel) mengetepi sepenuhnya tekanan komuniti antarabangsa, jadi saya berpendapat kabinet melakukan keputusan yang tepat,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis pemasyhuran Kampung Kerinchi dan perasmian pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai di sini, hari ini.

Turut hadir ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Pada 10 Januari lepas, Dr. Mahathir berkata, kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, dan sekiranya mereka ber­degil mahu menyertainya ia adalah satu kesalahan.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menyatakan sokongannya terhadap pendirian kerajaan itu yang dianggapnya tepat dan selaras dengan dasar luar Malaysia yang tidak mempunyai hubu­ngan diplomatik dengan Israel.

Dalam pada itu mengenai teguran secara berterus-terang daripada sesetengah pimpinan parti itu kepada dirinya, Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau mengambil bersikap lebih lembut.

“Dia (PKR) ada Biro Disiplin, tapi saya mengambil sikap lebih lunak (lembut), you nak jerit, jerit okay,” katanya.

Sementara itu, mengenai majlis pemasyhuran Kampung Kerinchi, Fahmi berkata, beliau kini dalam proses perbincangan dengan pejabat Datuk Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mewartakan sepenuhnya penggunaan semula nama Kampung Kerinchi.

“Penggunaan sekarang dalam poskod disebut Kerinchi, tapi saya nak tegaskan nama Kampung Kerinchi mesti dikekal. Bukan nak rasa malu, tapi kita mahu kekalkan sejarah asal usul tempat ini walaupun kawasan ini telah dibangunkan dengan banyak pejabat ko­mersial se­perti di Bangsar South, yang juga sebenarnya dalam kawasan Kampung Ke­rinchi,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×