NAYPYIDAW 19 Jan. – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengkritik usaha Myanmar yang disifatkan ‘terlalu perlahan’ melakukan proses penghantaran semula pelarian Rohingya ke negara ini.
Guterres mendakwa Myanmar sengaja melengah-lengahkan proses tersebut dan tindakan itu amat mengecewakan.
“Kami menegaskan supaya satu syarat perlu diadakan untuk memastikan pelarian Rohingya sedia pulang ke Rakhine secara sukarela,” katanya.
Perkara itu disokong Duta Jerman ke PBB, Christoph Heusgen selepas mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai hal berkenaan.
Jelasnya, perkembangan proses penghantaran ‘sangat terhad’ dan UNSC melahirkan kebimbangan berhubung perkara tersebut.
Kerajaan Myanmar pada bulan ini menangguhkan lawatan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi ke Rakhine.
Wakil PBB, Christine Schraner Burgener dijangka mengadakan rundingan di Myanmar pada bulan ini dan melaporkan kepada UNSC berhubung langkah penyelesaian krisis etnik Rohingya.
Britain pada Disember lalu mengemukakan resolusi draf terhadap Myanmar bagi menggesa satu jangka tarikh ditetapkan untuk pihak berkuasa melancarkan strategi menyelesaikan krisis Rohingya. – AFP










