[ VIDEO ] MyCare, Econsave serahkan perahu - Utusan Malaysia

[ VIDEO ] MyCare, Econsave serahkan perahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PALU (Indonesia) 19 Jan. – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), MyCare dan Pasaraya Econsave menyampaikan sumbangan perahu kepada nelayan yang terjejas akibat dilanda bencana tsunami pada September tahun lalu.

Selepas melancarkan kempen Perahu4Palu sejak Oktober lalu, kini sumbangan pelbagai pihak, terutamanya rakyat Malaysia yang prihatin diserahkan kepada golongan tersebut bagi membolehkan nelayan terlibat meneruskan kehidupan mencari rezeki menyara keluarga masing-masing.

Pengurus Operasi Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, pada misi kali kedua ini, pihaknya dan MyCare yang dibantu oleh sebuah NGO negara ini, PKPU Human Initiative menyerahkan sebanyak 30 buah perahu berserta injin dan jaring kepada nelayan di tiga perkampungan nelayan di sini.

MAS IMRAN (dua dari kanan) dan Dr. Mohd. Zin (kiri) turut mencuba menaiki perahu yang digunakan oleh
MAS IMRAN (dua dari kanan) dan Dr. Mohd. Zin (kiri) turut mencuba menaiki perahu yang digunakan oleh nelayan menangkap ikan di Kampung Loli Dondo, Palu semalam. – UTUSAN ONLINE/ BAAZLAN IBRAHIM

“Setiap perahu berserta enjin dan jaring dianggarkan berharga RM2,500.

“Dengan sumbangan ini, golongan nelayan tersebut dapat meneruskan pekerjaan mereka untuk menyara keluarga. Dalam kejadian tsunami tahun lalu, perahu dan kelengkapan menangkap ikan mereka musnah dan hingga kini tidak dapat turun ke laut,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan perahu di Kampung Loli Dondo, di sini petang semalam.

Mas Imran memberitahu, sejak dilancarkan pada Oktober tahun lalu, Tabung Gempa Lombok dan Palu yang diletakkan di lebih 70 pasar raya Econsave di seluruh negara menerima lebih RM250,000 sumbangan daripada orang ramai dan akan diteruskan supaya lebih ramai mangsa bencana itu menerima bantuan berkenaan.

Selain menyerahkan 10 buah perahu pada fasa pertama di Kampung Loli Dondo, delegasi misi kemanusiaan turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan pek makanan kepada golongan kanak-kanak.

Sementara itu, ketua misi, Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar berkata, pihaknya dimaklumkan daripada 32 nelayan di kampung tersebut, hanya tiga orang yang dapat terus turun ke laut kerana perahu mereka tidak rosak dibadai tsunami lalu.

“Yang lain hingga kini tidak dapat mencari rezeki kerana tidak ada kelengkapan dan kita harap mereka dapat meneruskan pekerjaan masing-masing apabila menerima sumbangan perahu nanti.

“Selain di kampung ini, kita juga akan sampaikan sumbangan serupa di dua buah perkampungan nelayan lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×