KUALA LUMPUR 18 Jan. – Pertukaran Ketua Pengarah Jabatan Imigresen baru-baru ini tidak ada kaitan dengan pembatalan kontrak Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) yang bernilai RM3.5 bilion.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dakwaan bahawa pertukaran itu ada kena mengena dengan pembatalan itu adalah berniat jahat.
“Tuduhan ini berniat jahat dan tidak benar sama sekali. Ia mungkin sengaja dibuat pihak-pihak berkepentingan yang tidak berpuas hati dengan cadangan KDN (Kementerian Dalam Negeri) membatalkan projek SKIN yang dipersetujui Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Pada 13 Januari lalu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, menggantikan Datuk Seri Mustafar Ali yang bersara daripada jawatan itu pada 31 Disember lalu.
Ekoran itu wujud desas-desus mengatakan tindakan itu ekoran pembatalan kontrak projek SKIN yang diberikan kerajaan terdahulu melalui rundingan terus kepada Prestariang Skin Sdn. Bhd. (PSSB) dengan konsesi selama 15 tahun.
Kabinet pada 30 November lalu bersetuju menamatkan perjanjian konsesi itu dengan PSSB dan satu sistem baru dikenali sebagai Sistem Imigresen Malaysia Bersepadu akan dilaksanakan menerusi tender terbuka.
Muhyiddin memberitahu, jawatankuasa khas yang ditubuh bagi mengkaji semula projek Skin mendapati wujud kelemahan dalam terma perjanjian konsesi dan pelaksanaan projek berkenaan.
“Antaranya ialah terma-terma kontrak yang lebih menguntungkan syarikat berbanding kerajaan, kos pelaksanaan projek terlalu tinggi dan bakal menjadi beban kewangan kepada kerajaan untuk jangka masa panjang dan skop pelaksanaan projek yang terhad serta tidak memenuhi keperluan sebenar Jabatan Imigresen.
“Berdasarkan faktor-faktor ini, pihak jawatankuasa telah mengesyorkan supaya perjanjian konsesi dengan PSSB ditamatkan dan sebuah sistem baru, iaitu Sistem Imigresen Malaysia Bersepadu dibangunkan,” katanya.
Katanya, cadangan yang dikemukakanoleh pihak kementerian dibuat dengan teliti, dan dibawa untuk pertimbangan Kabinet sebanyak empat kali.
“Ia tidak dibuat secara sewenang-wenang. Hasilnya, KDN telah menyelamatkan wang kerajaan yang dianggarkan berjumlah hampir RM1 bilion,” katanya. – UTUSAN ONLINE










