Pasangan muda didakwa tanam bayi tepi sawah - Utusan Malaysia

Pasangan muda didakwa tanam bayi tepi sawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Sepasang kekasih berdepan hukuman penjara dua tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran bayi mereka pada minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Siddiq Amran, 20, dan Nur Aryssa Khairul Nizam, 21, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.

Hukuman terhadap pasangan itu bagaimanapun akan diputuskan pada 18 Februari depan bagi menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama telah menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan cara mengebumikan mayat seorang bayi (janin) dilahirkan Nur Aryssa yang telah mati sebelum dilahirkan.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 8.30 pagi di kawasan sawah padi di Bukit Rambai, Batang Tiga di sini pada 13 Januari lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap mereka dan menetapkan 18 Februari depan bagi serahan laporan akhlak dari pihak JKM serta keputusan hukuman bagi kedua-dua tertuduh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×