SHAH ALAM – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bekas calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang daerah ini, 7 Januari lalu.
M. D. Ozziram, 25, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripadanya yang tidak diwakili peguam.
Berdasarkan pertuduhan, Ozziram bersama tiga lagi suspek yang masih bebas telah membunuh dengan niat M. Thiyahu, 30, di sebuah pangsapuri di Seksyen 7 di sini antara pukul 5 petang hingga 5.30 petang, 7 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amira Haziqah Zulkifli.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan Thiyahu yang aktif memerangi dadah mati akibat ditetak menggunakan parang oleh tiga lelaki di sebuah pangsapuri di Seksyen 7, di sini. – K! ONLINE










