Nwakaeme kembali ke Pahang - Utusan Malaysia

Nwakaeme kembali ke Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASUKAN Pasukan bola sepak Pahang bakal menerima khabar gembira apabila bekas pemain importnya, Dickson Nwakaeme dijangka kembali menyarung jersi pasukan mereka pada saingan Liga Super musim ini.

Nwakaeme dikatakan menjadi sasaran skuad Tok Gajah selepas mereka gagal memikat Liridon Krasniqi yang ketika ini dikaitkan menyertai pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas meninggalkan pa­sukan Kedah.

Spekulasi mengenai ke­pulangan Nwakaeme yang diberi jolokan ‘Orang Besi’ oleh peminat bola sepak tanah air itu dikuatkan lagi dengan paparan dua video yang dimuat naik dalam laman Instagram­nya kelmarin.

Dalam video pertama, Nwakaeme menunjukkan dia sedang memandu keretanya dengan memakai jersi pasukan Pahang edisi 2015 bersama kasut bola dan menuju ke padang untuk menjalani latihan berhampiran rumahnya di Nigeria.

Video berdurasi 9 minit 20 saat itu turut menyaksikan pemain berusia 33 tahun berkenaan bercakap dalam bahasa Melayu dengan mempelawa jurulatih Pahang, Dollah Salleh bermain bola bersamanya.

“Hei bos, bos datang sinilah. Bos Dollah, datang sini main bola di Nigeria,” katanya.

Nwakaeme turut me­nyatakan jersi nombor 10 skuad Tok Gajah hanya ada satu sahaja iaitu miliknya.

Dalam video kedua yang berdurasi 39 minit 34 saat pula menyaksikan Nwakaeme berenang dan berehat selepas menjalani latihan sambil berinteraksi menerusi panggilan video bersama beberapa penyokong Tok Gajah.

Melalui satu perbualan, Nwakaeme menyatakan dia akan ke Pahang dengan penerbangan dari Nigeria malam kelmarin, malah turut menyanyikan lagu Ale-ale Tok Gajahku sambil berehat di tepi kolam renang.

Selain itu, bekas pemain kelab Angers SCO di Pe­rancis itu turut memuat naik satu video yang dia sedang bersarapan pagi dan membawa sebuah beg bagasi dipercayai dalam perjalanan ke Malaysia semalam.

Menurut sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) pula, Nwakaeme telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Difahamkan, Nwakaeme akan terus dibawa ke Kuantan dan menjalani latihan di Taman Gelora, Kuantan pukul 5 petang ini.

Pemain yang berasal dari Lagos, Nigeria itu pernah beraksi cemerlang bersama skuad Tok Gajah selama dua musim pada 2014 dan 2015.

Dia yang bergandingan dengan pemain import dari Argentina, Matias Conti berjaya menjulang pasukan Pahang untuk muncul juara Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.

Sebelum menyertai Pa­hang, Nwakaeme juga per­nah beraksi bersama Kelantan pada musim 2013 ketika di bawah bimbingan Bojan Hodak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×