PADA ketika kontroversi perpindahan Akhyar Rashid ke Johor Darul Ta’zim (JDT) masih belum reda, peminat bola sepak tanah air sudah pun mencongak beberapa bakat muda yang bakal dilahirkan Kedah apabila musim 2019 bermula.
Mereka mahu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memberi perhatian serius untuk melindungi empat bintang yang dianggap ‘ubi’ baharu Lang Merah, iaitu istilah untuk pemain bola sepak muda yang bakal menyinar.
Mohd. Fazrul Danel Nizam, Mohamad Fayadh Zulkifli Amin, Zhafir Yusof dan Hidhir Idris dilihat sebagai calon pemain yang mampu menjadi sebaik Akhyar atau lebih bagus daripada Penyerang Terbaik Kebangsaan 2018 itu.
Melihat rekod Kedah yang dianggap antara ‘kilang terbaik’ dalam melahirkan bakat bila sepak tempatan untuk diserap ke liga utama atau skuad kebangsaan, ramai yang tidak terkejut jika pasukan itu dapat menggantikan ‘Akhyar’ dalam tempoh singkat.
MOHD. FAYADH ZULKIFLI AMIN
Tarikh lahir: 14 September 1998
Pasukan lama: Piala Presiden Kedah
Posisi: Tengah
Tinggi: 1.60 meter
WALAUPUN bertubuh kecil, kelicikan Mohd. Fayadh Zulkifli Amin membolehkannya menjadi watak utama yang membawa Kedah muncul naib juara Sukan Malaysia dan Piala Presiden 2018.
Fayadh, 20, mula menjadi tumpuan selepas muncul pemain terbaik perlawanan akhir Piala Menteri Besar Kedah 2017 ketika beraksi buat pasukan Kubang Pasu.
MOHD. FAZRUL DANEL NIZAM
Tarikh lahir: 14 Januari 1998
Pasukan lama: Piala Presiden Kedah
Posisi: Tengah
Tinggi: 1.75 meter
SEPERTI Fayadh, Fazrul Danel juga memainkan peranan penting buat Kedah dalam Sukma dan Piala Presiden 2018 bagi membolehkannya dinaikkan pangkat ke skuad senior musim depan.
Kebolehan bermain di mana-mana posisi bahagian tengah antara faktor utama dia dipanggil menyarung jersi skuad bawah 21 tahun Malaysia dalam Piala Newspaper di Vietnam, tahun lalu.
MOHD. HIDHIR IDRIS
Tarikh lahir: 29 Mei 1997
Pasukan lama: Piala Presiden kedah
Tempat lahir: Alor Setar
Posisi: Sayap
Tinggi: 1.65 meter
POSISI Hidhir Idris sama seperti Akhyar. Dia kerap beraksi di sayap kiri atau kanan.
Kemunculan awalnya bersama skuad senior Kedah musim lalu meresahkan penyokong, namun Hidhir pantas menyesuaikan diri dengan pasukan dan berjaya menjadi watak penting Lang Merah sepanjang musim.
Ramai yang menjangkakan, pemain berusia 21 tahun akan menyerlahkan kemampuan sebenar pada musim 2019 selepas menimba banyak pengalaman pada 2018.
MUHAMMAD ZHAFIR YUSOF
Tarikh lahir: 30 April 1999
Pasukan lama: Piala Presiden Kedah
Posisi: Sayap/Serangan
BIARPUN baru berusia 19 tahun, Muhammad Zhafir Yusof sudah diberi kepercayaan beraksi bersama skuad senior Kedah dalam kempen Liga Malaysia 2018 dan kerap beraksi di posisi sayap.
Sangat licik sama ada beraksi di sayap kiri mahu pun kanan, Zhafir juga cemerlang di pentas antarabangsa dengan menjadi watak penting ketika membantu skuad bawah 19 tahun bimbingan Bojan Hodak beraksi dalam Piala AFC 2018.
Bakat Zhafir mula dikesan ketika berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman di Kepala Batas, Kedah.
Kariernya semakin naik selepas diserap ke Sekolah Sukan Gambang (SSMP) di Pahang.
Anak jati kedah itu menjadi watak penting pasukan negeri dalam Piala Presiden, selain Piala Belia.









