PRK Cameron Highlands: DAP akui persaingan sengit - Utusan Malaysia

PRK Cameron Highlands: DAP akui persaingan sengit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui DAP akan berdepan dengan perlawanan sengit pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, 26 Januari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kelebihan sudah tentu berpihak kepada penyandang kerusi itu iaitu MIC memandangkan parti itu memegang kerusi Parlimen berkenaan sejak sekian lama.

“Kerusi ini tidak pernah dimenangi oleh Pakatan Harapan atau parti DAP. Memang ini satu perlawanan yang sengit. Sungguh pun kelebihan kepada MIC kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencipta sejarah memenangi kerusi Cameron Highlands supaya rakyat dapat rasai hasil ekonomi dan pembangunan yang lestari.

“Kita tak mahu pembangunan semata-mata, kita mahu pembangunan yang lestari khususnya di kawasan hijau seperti Cameron Highlands,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek naik taraf lif Perumahan Kastam Bukit Gelugor di sini hari ini.

Ditanya mengenai calon, Guan Eng berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti akan bermesyuarat pada minggu ini bagi membincangkan calon yang akan bertanding pada PRK itu dan pihaknya akan membuat pengumuman selepas itu. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×