JAGUH No. 1 dunia dari Jepun, Kento Momota dan ratu badminton Australia, Gronya Somerville merupakan antara nama bintang terkemuka dunia akan berentap pada kejohanan badminton SS Purple League (SSPL) yang membuka tirainya hari ini.
Momota akan beraksi bersama Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya, manakala Gronya pula bakal menggalas cabaran untuk KB Petaling dengan pusingan akhir kejohanan bakal berlangsung di Genting Highlands pada 24 hingga 27 Januari depan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Purple League, Datuk Jack Koh sangat mengalu-alukan kehadiran pemain-pemain dalam kelompok 30 terbaik dunia untuk bersaing pada Purple League selain gembira dengan kepulangan semula Momota dalam saingan kejohanan tersebut.
“Kehadiran pemain-pemain bintang dunia ini pastinya memberikan peluang kepada pemain muda tempatan yang meningkat naik untuk menguji kemampuan masing-masing,” kata Jack.
Semua pasukan yang bersaing pada Purple League pastinya akan memberikan aksi terbaik bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM1.5 juta.










