KUALA LUMPUR 20 Dis. – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin (gambar) berkata, perkara tersebut tidak mungkin berlaku dan menganggapnya sebagai satu propaganda.
“Ia satu propaganda, tapi saya tidak tahu pihak mana,” katanya seperti dilaporkan portal mStar Online hari ini.

Tular ketika ini dakwaan kononnya, Mohamed Azmin yang juga merupakan Menteri Hal Ekonomi bersama 20 ahli Parlimen PKR akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Spekulasi tersebut turut menjadi bualan netizen susulan ramai ahli Parlimen UMNO yang keluar daripada parti itu dan dikatakan akan menyertai Bersatu.
Perkara tersebut semakin hangat diperkatakan apabila pada 17 Disember lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar kemudiannya meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang.
Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi Azmin menerusi telefon dan media sosial rasmi beliau tidak berjaya.
Setiausaha Politik kepada Mohamed Azmin, Muhammad Hilman Idham ketika dihubungi pula berkata, tidak logik untuk Ahli Parlimen Gombak itu untuk keluar daripada PKR.
“Tiada sebab untuk Mohamed Azmin keluar Keadilan (PKR). Beliau salah seorang pengasas Keadilan, setia dengan Keadilan dan menang besar dalam pemilihan parti baru-baru ini,” katanya.










