ALOR SETAR 20 Dis. – Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad kecewa apabila bekas timbalannya, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid yang ‘ditatang bagai minyak yang penuh’ selama ini sanggup mengambil keputusan meninggalkan parti.
Malah, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga terkilan apabila Mohd. Rawi sanggup melanggar sumpah dan janji yang pernah dilafazkannya dihadapan lebih 600 perwakilan pada persidangan UMNO bahagian itu baru-baru ini, bahawa beliau sama sekali tidak akan meninggalkan parti, jauh sekali menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Namun katanya, semua itu hanya mainan manis di mulut apabila bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan, Warisan dan Kerja Raya negeri itu mengetuai 30 pemimpin dan ahli dari lapan cawangan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan mengumumkan meninggalkan parti dan dijangka menyertai Bersatu.
Bagaimanapun kata Nawawi, tindakan Mohd. Rawi itu langsung tidak akan menjejaskan parti di kawasan tersebut malahan UMNO akan semakin kuat selepas ini dengan jumlah ahli terus menunjukkan peningkatan.
“Saya juga tidak pasti mengapa beliau (Mohd. Rawi) mengambil keputusan meninggalkan UMNO. Tetapi sebelum pemilihan parti baru-baru ini, beliau ada berjumpa saya dan meminta saya memberikan laluan kepadanya menjadi Ketua Bahagian.
“Saya tidak bersetuju dan memintanya kekal sebagai timbalan. Bagaimanapun selepas itu, beliau mengumumkan untuk bertanding menentang saya. Apabila lawan dan saya menang, Mohd. Rawi sepatutnya menerima hakikat.
“Malah, pada persidangan UMNO iaitu sebelum keputusan diumumkan, beliau juga bersumpah di hadapan perwakilan bahawa tidak akan meninggalkan UMNO meskipun kalah dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Bahagian itu. Malangnya, hari ini, Mohd. Rawi melanggar sumpah itu,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Sebelum itu, Mohd. Rawi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, mengumumkan keluar UMNO, namun tidak menyertai mana-mana parti lain buat masa ini.
Mohd. Rawi dilaporkan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas beliau berfikir panjang sejak berakhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan pemilihan parti yang turut menyaksikan beliau tewas perebutan jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi.
Mengulas lanjut, Nawawi berkata, beliau yang telah mencorakkan perjalanan politik Mohd. Rawi sehingga memegang pelbagai jawatan penting di dalam parti.
“Bagaimanapun, semua itu tidak dihargai malah sanggup meninggalkan UMNO. Saya agak kecewa dan terkilan,” katanya.- UTUSAN ONLINE










