PONTIAN 20 Dis. – Penderitaan Mohd. Syukri Johan, 9, yang menghidapi penyakit sel kanser mata mendapat perhatian pihak Baitulmal negeri.
Menurut bapanya, Johan Zainal, 60, pihak Baitulmal bersetuju menanggung kos pembedahan membuang sel kanser mata yang diadakan Januari depan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bagaimanapun di sebalik berita yang melegakan itu, keluarganya bimbang rawatan susulan selepas pembedahan berkenaan mungkin menyebabkan Mohd. Syukri hilang deria penglihatan.
Katanya, penyakit Mohd. Syukri yang dikesan tahun lalu menyebabkan kanak-kanak tersebut hanya bergantung ubat hospital bagi menahan sakit kepala kesan penyakit dihidapinya itu.
“Pembedahan perlu dilakukan segera memandangkan penyakit dihidapi Mohd. Syukri dikhuatiri merebak ke bahagian lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Piai di sini baru-baru ini.
Dia sekeluarga bersedia dengan perubahan yang berlaku selepas pembedahan nanti dan diharapkan berjalan lancar dengan Mohd. Syukri segera sembuh.
Ibu Mohd. Syukri, Samsiah Sarip juga berharap pembedahan itu dapat memulihkan keadaan anaknya yang tidak bersemangat setelah disahkan doktor menghidapi penyakit tersebut.
Menurut Samsiah, anaknya banyak menghabiskan masa berbaring atas katil serta tidak mahu berinteraksi dengan ahli keluarga walaupun dia cuba untuk membawanya keluar bersiar-siar.
“Saya bersyukur sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan ketika Mohd. Syukri mendapatkan rawatan di HKL yang jarak perjalanan enam hingga tujuh jam dari Pontian,” katanya.
Selain menggunakan perkhidmatan bas ekspres ke Kuala Lumpur, ada kalanya juga menggunakan kereta memandangkan Mohd. Syukri cepat letih dan tidak tahan silau cahaya matahari.
Katanya, sebelum kes dirujuk ke HKL, Mohd. Syukri mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru memandangkan mata kanannya semakin membesar berbanding mata kiri.










