IPOH 20 Dis. – Seorang wanita warga emas terpaksa berputih mata apabila wang persaraannya sebanyak RM55,000 ditipu satu sindiket yang menyamar sebagai pekerja pejabat pos dan pegawai polis dua minggu lalu.
Mangsa, Choong Fan Cheng, 69, berkata, dia dihubungi seseorang pada 8 Disember lalu yang mengaku pekerja Pos Malaysia dan memaklumkan terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan dan kad kredit miliknya yang tidak dituntut.
Menurutnya, dia bagaimanapun memberitahu bahawa kad pengenalannya ada bersamanya selain tidak pernah memohon kad kredit dari mana-mana bank.
“Lelaki itu meminta saya membuat laporan polis sebelum dia menyambungkan talian kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai penyiasat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.
“Lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis itu kemudiannya memberitahu bahawa saya terlibat dengan satu kes pengubahan wang haram sebelum meminta menyerahkan semua wang yang ada di dalam akaun,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurutnya, lelaki itu mengugut untuk membekukan akaun miliknya sekiranya semua wang itu tidak dipindahkan ke satu akaun bank atas nama Kang Swee Leng dan mengarahkannya supaya tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara itu sehingga urusan pemindahan wang selesai.
“Saya telah memindahkan wang melalui dua transaksi iaitu sebanyak RM25,000 dan RM23,000 ke akaun yang diberikan. Lelaki itu juga meminta saya membayar wang jaminan RM30,000 apabila saya tidak dapat hadir ke mahkamah untuk proses perbicaraan kes sebelum meminta memindahkan wang sebanyak RM7,000 ke akaun yang diberikan,” katanya.
Tambahnya, dia hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi nombor telefon lelaki itu dan membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam pada 13 Disember lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan sedang dijalankan.










