Berebut dapatkan 'projek' daripada ejen warga asing - Utusan Malaysia

Berebut dapatkan ‘projek’ daripada ejen warga asing

Pembabitan anggota Imigresen dalam kes salah guna cap keluar masuk warga asing di pintu sempadan menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan ramai PATI yang bolos.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anggota Imigresen yang terbabit dalam kegiatan menyalahguna pengesahan cap keluar dan masuk sempadan negara, berebut sesama mereka bagi mendapatkan ‘projek’ daripada ejen yang membawa masuk warga asing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu, imbuhan tinggi yang diterima daripada kegiatan itu menyebabkan segelintir anggota ‘kelabu mata’ dan sanggup menggadai integriti mereka.

Katanya, sistem kemasukan yang dipercayai lemah di samping tiada tindakan dalaman yang tegas menyebabkan anggota terlibat semakin berani bersekongkol dengan ejen-ejen warga asing.

Lebih menjengkelkan, anggota Imigresen yang mahu melakukan kegiatan itu tetapi tiba-tiba menarik diri daripada terbabit akan ‘dipulau’ malah mereka pula dianggap tidak berdisplin.

“Jika perkara ini tidak dibendung, tidak mustahil kemungkinan semua pintu masuk di negara ini bolos dan menyebabkan mudahnya warga asing masuk tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telus

“Penguatkuasaan lebih mendalam patut dibuat. Kalau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bolos, tak mustahil pintu masuk lain lagi mudah warga asing masuk ke negara ini tanpa pemeriksaan ketat,” katanya di sini semalam.

Menerusi Op Selat yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 17 November lalu, setakat ini, sebanyak 65 tangkapan dilakukan membabitkan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen serta ahli sindiket yang berperanan sebagai ejen.

Sehingga kini, daripada jumlah yang ditahan sebanyak 56 individu dibebaskan dengan jaminan SPRM manakala sembilan lagi masih direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, wanita warga asing terutama dari China untuk dijadikan gadis pelayan pelanggan (GRO) lolos masuk di negara ini menerusi pengaturan kaunter khas di KLIA dan KLIA2.

Lebih mengejutkan, dianggarkan lima hingga 10 kaunter dibuka dalam satu-satu masa yang mana anggota Imigresen yang telah dibayar ejen akan bertugas di situ sebelum melepaskan mereka tanpa semakan dan pemeriksaan.

Kegiatan yang dilakukan sejak tiga tahun lalu itu terbongkar apabila beberapa individu yang diburu SPRM yang berperanan sebagai ejen membawa wanita tersebut diberkas menerusi Op Selat.

Ejen terbabit dilapor membekalkan wanita tersebut kepada kelab-kelab malam mewah di ibu negara dengan bayaran tertentu untuk dijadikan GRO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN