ALOR SETAR 20 Dis. – Kelmarin, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah memberi kepercayaan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menjalankan tugas-tugas sebagai presiden parti.

Jadi, adakah segelintir pemimpin UMNO yang sebelum ini keluar parti atas alasan hilang kepercayaan kepada Ahmad Zahid akan kembali kepada landasan perjuangan.
Persoalan itu ditimbulkan oleh Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah terhadap Ahli Parlimen, Ahli Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin-pemimpin terbabit.
“Adakah sekarang meraka (pemimpin UMNO keluar parti) akan kembali kepada perjuangan UMNO di bawah kepimpinan Mohamad Hasan?.
“Ataupun pemimpin-pemimpin yang melompat keluar parti menggunakan alasan ‘kepimpinan Zahid’ kini berada di dalam situasi kekok,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Minggu lalu, enam Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor); Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Sebelum itu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.
Lebih awal meninggalkan UMNO adalah Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli) dan bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dalam perkembangan berkaitan, Sharifah Maznah berkata, keputusan Ahmad Zahid perlu dihormati dan disifatkan cukup berjiwa besar.
Katanya, bagi Mohamad pula, tanggungjawab berat yang bakal dipikulnya seharusnya memerlukan sokongan padu seluruh kepemimpinan dan ahli akar umbi.- UTUSAN ONLINE










