Kes polis mati jatuh hotel, 5 anggota polis ditahan - Utusan Malaysia

Kes polis mati jatuh hotel, 5 anggota polis ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 20 Dis. – Lima anggota polis ditahan semalam bagi membantu siasatan kes seorang anggota polis yang dijumpai mati dipercayai terjatuh dari sebuah hotel di Pulau Tikus, Isnin lalu.


Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, selain itu polis juga akan memanggil beberapa lagi saksi lain untuk membantu siasatan kes berkenaan.


“Mereka yang ditahan berada di tempat yang sama dengan anggota polis yang terjatuh itu.


“Mungkin juga mereka berada di satu majlis di situ dan polis juga telah merakamkan percakapan mereka bagi memastikan tiada sebarang percanggahan maklumat dan memastikan mereka bercakap benar,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, mayat mangsa, Sofian  Shahari, 47, yang merupakan anggota polis Cawangan Khas IPD Timur Laut dijumpai oleh seorang pekerja hotel dalam keadaan tertiarap di atas kawasan parkir kereta di depan hotel di Pulau Tikus, Isnin lalu.


Sebelum kejadian, mangsa dipercayai berada di sebuah pusat karaoke bagi menyambut majlis hari jadi seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri.


Dalam pada itu, Thaiveegan berkata, saringan awal ujian air kencing kelima-lima anggota terbabit juga disyaki positif dadah.


“Pihak polis masih menunggu pengesahan daripada Jabatan Kimia berhubung perkara ini,” katanya.


Tambah beliau, setakat ini kes berkenaan masih diklasifikasi sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×