GENG 52 ahli kelab gabungan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bakal mengambil tindakan undang-undang untuk menyaman Presiden FAS yang juga Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin susulan pemecatan 43 ahli gabungan yang disifatkan sebagai tidak sah.
Naib Presiden baharu FAS yang dilantik pada Kongres Luar Biasa (EGM), Datuk Ariffin Abdul Hamid menegaskan, keputusan tersebut dilakukan disebabkan alasan Tengku Amir memecat 43 ahli terbabit yang menyokong EGM itu dengan menggunakan Artikel 38 adalah lemah dan tidak munasabah.
Justeru, Ariffin memberitahu, pihaknya sedia mengambil tindakan undang-undang selepas mereka menerima layanan yang kurang baik sehingga menyebabkan 43 daripada 52 ahli tersebut dipecat.
“Kami enggan iktiraf pemecatan ke atas 43 ahli gabungan dan kami akan berbincang dengan peguam untuk mengemukakan saman kepada Presiden FAS.
“Perkara ini berlaku sebaik sahaja Tengku Amir dilantik sebagai Presiden FAS Julai lalu bagi menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal dan baginda bertindak menamatkan perkhidmatan 55 Ahli Jawatankuasa Tetap FAS tanpa sebab.
“Tindakan tersebut menyebabkan 67 ahli gabungan FAS menghantar surat permohonan dan mendesak FAS mengadakan EGM untuk memilih semula Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAS untuk tempoh 2018-2022 yang dihantar kepada FAS pada 1 Oktober 2018,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Mengikut Artikel 30 Statut FAS, EGM FAS boleh diadakan oleh ahli-ahli gabungan sekiranya FAS tidak mengadakan EGM dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan surat permohonan.
“FAS menerusi Setiausaha Agung FAS, Johan Kamal Hamidon mahupun Presiden FAS telah mengeluarkan kenyataan memburukkan imej 52 ahli gabungan malah ia menampakkan betapa teruknya kami.
“Sebagai maklumat, EGM FAS yang diadakan itu cukup korum dan sah bahkan sehingga kini tiada lagi pengakuan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia yang menyatakan kongres itu tidak sah.
“Keputusan memecat 43 ahli gabungan oleh Presiden FAS menunjukkan bahawa Tengku Amir tidak mempunyai semangat kesukanan dan langsung tidak mengambil kira nasib 4,000 ahli kelab, pegawai pasukan dan pemain yang kehilangan hala tuju dalam dunia bola sepak terutamanya di Selangor.










