PARIS 19 Dis. – Seorang lelaki warga Britain yang disyaki terlibat merancang salah satu daripada penyeludupan dadah terbesar di Eropah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mendakwa apa yang berlaku adalah ‘satu skrip’.
Lelaki berkenaan, Robert Dawes, menjalani perbicaraan di mahkamah sejak minggu lalu selepas didakwa menyeludup 1.3 tan kokain ke Perancis pada 2013.
Dia ditahan dalam satu serbuan ketika waktu subuh di resort mewah di Benalmadena, Sepanyol pada 2015 selepas polis merakamkan perbualannya di sebuah hotel di mana Dawes mengaku dadah tersebut adalah miliknya.
Dakwanya, penahanannya adalah salah satu rancangan oleh pihak berkuasa Sepanyol untuk menamatkan pengawasan ketat terhadap dirinya.
“Ini semua adalah skrip. Saya bercakap mengenai lapangan terbang, kawasan penghantaran, seperti saya terbabit dalam sesuatu.
“Namun saya tidak terbabit dalam penyeludupan dadah ketika itu. Saya tidak mempunyai kaitan dengan mereka,” kata Dawes merujuk kepada dua lagi suspek warga Britain dan tiga rakyat Itali yang turut menjalani perbicaraan. – AFP











