Pada penghujung Oktober lepas, Cikgu Saham menulis tentang sentimen pasaran kekal negatif. Dan pada ruangan kali ini, kita kupas lagi tentang kesan daripada sentimen pasaran negatif ke atas para pelabur dan pedagang saham.
Indeks pasaran Bursa Malaysia mengalami banyak siri kejatuhan sepanjang tahun ini. Jika diperhalusi, boleh dikatakan para pelabur dan pedagang saham lebih banyak mengalami kerugian secara kasarnya daripada meraih keuntungan dalam pelaburan dan perdagangan saham pada tahun ini.
Jika melihat kepada carta pergerakan pasaran FBM KLCI, pasaran Bursa Malaysia mengalami aliran menurun yang lama pada kali ini bermula penghujung Ogos 2018 hingga kini.
Pada waktu itu, indeks FBM KLCI berada pada paras 1,826 mata mula mengalami aliran menurun sehingga Disember. Ini merupakan satu aliran menurun yang boleh dikatakan agak lama dan hampir mencecah kepada empat bulan.
Aliran menurun
Secara logik, jika pasaran saham mengalami aliran menurun, sudah tentu pelabur dan pedagang saham juga akan mengalami kerugian kerana harga-harga saham syarikat tersenarai juga merosot dalam proses ini.
Walaupun terdapat beberapa rally kenaikan kecil dalam fasa penurunan ini, para pelabur dan pedagang saham masih tidak dapat mengimbangi keuntungan dengan kerugian. Dengan kata mudah, rugi yang dibuat lebih banyak daripada untung yang dijana semasa dalam proses aliran menurun ini.
Ini disebabkan faktor-faktor negatif yang menguasai pasaran. Banyak faktor negatif berbanding positif menyebabkan pasaran saham mengalami proses aliran menurun yang panjang.
Disebabkan aliran menurun ini, Cikgu Saham banyak menerima keluhan pelabur dan pedagang saham di media sosial Facebook yang menyatakan telah mengalami kerugian teruk.
Kerugian mencapai angka puluhan ribu bukan satu perkara asing dalam pelaburan saham lebih-lebih lagi keadaan sekarang. Malah, terdapat juga yang telah mencapai kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.
Kebanyakan pelabur dan pedagang lebih-lebih lagi pelabur dan pedagang baharu yang memasuki pasaran pada Ogos sehingga kini mengalami kerugian dan masih tidak berjaya meraih keuntungan untuk mengimbangi portfolio pelaburan mereka.
Saham IPO
Sungguhpun begitu, kita bertuah kerana saham IPO atau saham terbitan permulaan, kebanyakannya berjaya mencatatkan premium yang baik walaupun terdapat segelintirnya gagal mencatatkan premium yang baik pada hari pertama penyenaraian di papan Bursa Malaysia.
Tidak dinafikan melabur dalam saham-saham IPO ini kurang risiko berbanding dengan membeli saham-saham di pasaran terbuka. Satu daripada sebabnya ialah saham-saham IPO ini perlu mempunyai rekod kewangan yang baik atau positif sebelum diluluskan untuk penyenaraian di Bursa Malaysia lebih-lebih lagi yang terdiri di dalam kategori papan utama.
Prestasi saham IPO atau saham terbitan awal yang disenaraikan tahun ini tidak mengecewakan para pelabur yang telah membuat pilihan untuk melabur dalam saham IPO berbanding dengan membeli saham di pasaran terbuka.
Sehubungan itu, pelabur dan pedagang saham yang mengalami kerugian dalam pelaburan atau perdagangan di pasaran terbuka boleh cuba mengambil peluang ke atas saham-saham IPO ini.
Atur strategi
Pelabur dan pedagang saham perlu bijak menukar strategi apabila berhadapan dengan keadaan sukar dalam pelaburan. Mereka juga perlu bijak menangani masalah atau keadaan sukar supaya tidak terus-menerus mengalami kerugian semasa pasaran berada dalam sentimen negatif.
Beberapa faktor yang tidak asing dan telah dibicarakan di dalam beberapa kolum lepas memberi kesan ke atas sentimen pasaran ialah seperti berikut:
* Pengeluaran dana asing secara berterusan daripada pasaran saham
* Isu perang dagang Amerika Syarikat (AS) dan China yang tiada jalan penyelesaian
* Kejatuhan harga pasaran minyak mentah dunia
* Perubahan dasar kerajaan yang memberi impak ke atas pasaran saham
* Kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS
* Kejatuhan indeks pasaran AS Dow Jones Industrial Average (DJIA) dan pasaran serantau
* Laporan penyata kewangan negatif syarikat tersenarai
Kepada yang ingin mempelajari cara menjana pendapatan di pasaran saham sila hubungi talian 019-2352037 dan untuk perisiaan carta 013-3899162.











