TAPAH 18 Dis. – Kampung Kinjang di Chenderiang dipilih menjadi perintis program Desa Harapan yang bertujuan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar secara holistik menerusi pembangunan di kampung-kampung terpilih.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, pemilihan kampung berkeluasan 233 hektar dan didiami 430 penduduk daripada 138 keluarga itu berikutan potensinya untuk dimajukan dari sudut sosioekonomi kerana kedudukannya yang hampir dengan Lata Kinjang, antara air terjun tertinggi di Asia Tenggara.
Menurut beliau, keistimewaan itu boleh dijadikan tarikan kepada penduduk kampung meningkatkan pendapatan mereka dengan menyasarkan pelancong sebagai pelanggan utama.
“Bagaimanapun, hasrat itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada pihak korporat agar dapat diperkasa dan dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Sebagai kampung yang dipilih dari 17,000 kampung lain di seluruh negara, diharap program Desa Harapan memberi manfaat kepada penduduk kampung terutama dalam mewujudkan peluang menjana pendapatan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Desa Harapan di Kampung Kinjang, Chenderiang di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus .
Menurut Rina, program baharu di bawah kementeriannya bertujuan mempercepatkan pembangunan luar bandar melalui kerjasama strategik antara sektor kerajaan, swasta dan korporat.
Beliau berkata, melalui kerjasama tersebut, syarikat swasta yang melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara bersendirian terutama di kawasan kampung dapat diselaraskan agar penduduk berupaya menjana pendapatan menerusi program bersesuaian.
Tambah beliau, sehingga kini sebanyak 25 syarikat swasta telah menyatakan kesudian menjadi rakan strategik kementerian dalam menjayakan program itu dengan satu kampung bagi setiap negeri untuk tempoh dua tahun dan dijangka bertambah berdasarkan kejayaan serta komitmen syarikat swasta dan korporat terlibat.
“Kementerian juga akan mewujudkan jawatankuasa khas menilai program ini dari semasa ke semasa. Kita mahu setiap program dilaksanakan bukan syok sendiri dan kajian impak keberkesanan yang dilakukan dapat membantu menambah baik program ini,” katanya sambil memberitahu program itu akan dijalankan di Kedah, Johor, Kelantan dan Sabah.
Terdahulu, Rina dan Ahmad Faizal meninjau projek pembinaan Tabika KEMAS yang dibina oleh syarikat HUME Cemboard Industries menerusi Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi Program Desa Harapan.











