KUALA LUMPUR 18 Dis. – Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia daripada 4.9 peratus kepada 4.7 peratus bagi 2018 dan 2019.

Pakar Ekonomi Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin berkata, penurunan unjuran tersebut dibuat berdasarkan dua faktor iaitu perbelanjaan kerajaan yang lebih rendah dan pengurangan dalam jumlah pelaburan swasta dan awam.
Selain itu, katanya, faktor luaran, seperti ketegangan perdagangan semasa dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan dan komoditi juga menimbulkan kesan ke atas ekonomi Malaysia pada masa hadapan.
“Persekitaran luaran yang tidak menentu meletakkan premium yang lebih tinggi pada pembaharuan untuk meningkatkan daya tahan.
“Bagaimanapun, kedua-dua Belanjawan 2019 dan semakan separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 yang dilakukan kerajaan telah menetapkan satu siri tujuan dan inisiatif baharu yang boleh mengukuhkan tadbir urus dan ketelusan, meningkatkan kecekapan sektor awam dan memupuk pertumbuhan yang saksama,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia oleh World Bank Group di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Negara Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Bank Dunia, Mara Warwick; Pengurus Negara, Pejabat Bank Dunia Malaysia, Dr. Firas Raad dan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Saiful Anuar Lebai Hussen.
Sementara itu, Warwick berkata, pihaknya berpuas hati melihat langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk memelihara pertumbuhan, memulihkan penampan fiskal dan meningkatkan tadbir urus.
“Pembaharuan seperti yang dilakukan kerajaan Malaysia akan memberi pulangan dari semasa ke semasa, dengan usaha untuk memperbaiki bukan sahaja kuantiti pertumbuhan ekonomi, tetapi juga kualiti pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, permintaan dalam negeri terus menyokong ekonomi, dengan penggunaan swasta meningkat kepada sembilan peratus pada suku ketiga 2018 berbanding lapan peratus suku sebelumnya didorong oleh penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam tempoh tersebut.
Menurut Warwick, momentum dalam pelaburan swasta juga meningkat daripada 6.1 peratus pada suku kedua kepada 6.9 peratus pada suku ketiga didorong oleh pengembangan sektor perkilangan dan perkhidmatan.
“Mengembalikan penampan fiskal adalah satu langkah penting bagi negara untuk bertindak balas dengan berkesan terhadap kejutan ekonomi pada masa hadapan,” katanya.











