Mahkamah Tinggi tolak permohonan Najib - Utusan Malaysia

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Tiada peruntukan undang-undang mewajibkan Datuk Sulaiman Abdullah yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya secara fiat (kebenaran rasmi) mengemukakan surat lantikannya itu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana, menurut Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali, berdasarkan kaedah lantikan, surat tersebut hanya perlu dikemukakan kepada mahkamah dan bukannya kepada tertuduh.

Sehubungan itu, mahkamah menolak permohonan pasukan pembelaan diketuai peguam bela, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu agar surat tersebut dikemukakan kepada pihaknya.

Ketika membaca penghakimannya, Hakim Nazlan me­nyatakan, walaupun terdapat beberapa perkara yang kurang jelas dalam pelantikan Sulaiman namun Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan satu kenyataan media bertarikh 31 Ogos lalu.

“Kenyataan tersebut dengan jelas menyatakan pelantikan Sulaiman adalah untuk menge­tuai pasukan pendakwaan kes ini. Sehubungan itu, saya meng­anggap permohonan ini tidak mempunyai merit. Surat pelantikan itu juga tergolong sebagai dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi yang tidak boleh dicabar di mahkamah,” katanya.

Sejurus penghakiman itu dibacakan, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan membuat rayuan berhubung keputusan hari ini.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos lalu, bekas Perdana Menteri berusia 65 tahun itu, didakwa atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna jawatan dan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram yang dikaitkan dengan dana syarikat SRC International, empat tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×