KUALA LUMPUR 18 Dis. – Malayan Banking Bhd. (Maybank) mengunjurkan 2019 sebagai tahun yang menarik dan akan merekodkan prestasi lebih baik berbanding 2018 dari segi pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat dijangka menaikkan kadar faedah.
Katanya, ia seterusnya menyumbang kepada peningkatan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dari semasa ke semasa dan dalam hal ini, orang ramai akan dapat memperuntukkan risiko ke dalam pelaburan mereka.
“Terdapat kebimbangan terhadap jumlah dagangan lebih-lebih lagi mengambil kira hubungan perdagangan di antara AS dan China. Bagaimanapun, di Malaysia, kami menjangkakan pertumbuhan dagangan didorong oleh dasar-dasar kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran perkhidmatan baharu pelaburan dalam unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Perkhidmatan Komuniti Kewangan Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin.
Terdahulu, PNB dan Maybank memperkenalkan perkhidmatan membuat pelaburan dalam unit ASNB melalui Maybank2u dan juga menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kedua-duanya dalam masa nyata.
Sementara itu, Hamirullah berkata, ketika ini, lebih daripada tiga juta transaksi ASNB dijalankan di kaunter mereka dalam masa satu tahun, dengan sekitar satu juta daripadanya adalah urus niaga deposit.
“Kami menjangkakan 50 peratus daripada transaksi deposit akan berpindah ke platform digital dan melihat peningkatan sebanyak 20 peratus dalam pelaburan ASNB dengan perkhidmatan baharu ini.
ASNB mempunyai 14 dana amanah saham dan menguruskan 235.96 bilion unit dalam edaran yang dimiliki oleh lebih 13.74 juta pemegang akaun.
Perkhidmatan baharu melalui Maybank2u dan mesin ATM membenarkan transaksi dilakukan mulai pukul 7 pagi hingga 7 malam dari Ahad hingga Jumaat (kecuali Sabtu dan cuti umum).










