BISHKEK 18 Dis. – Asyla Alymkulova mengalirkan air mata di kediamannya di Kyrgyzstan ketika dia mengingatkan pertama kali mendengar suaminya dibawa ke salah sebuah kem tahanan di wilayah bergolak Xinjiang, China.
Shairbek Doolotkhan, seorang eksekutif perlombongan beragama Islam kelahiran China, telah memberitahu isterinya itu ‘segala-galanya adalah baik’ ketika dia pergi ke pejabat syarikatnya di Xinjiang untuk menangani ‘beberapa masalah’.
Tetapi telefon bimbitnya tidak dapat lagi dihubungi sejak Oktober tahun lalu.
Asyla, 33, tidak mempunyai maklumat mengenai apa yang telah berlaku sehingga beberapa minggu kemudian apabila seorang wakil syarikat menghubunginya dan memberitahu suaminya itu telah ‘dihantar pergi untuk belajar’ di sebuah kem.
“Saya bertanya kepadanya apa yang dia (suami) belajar?” soalnya.
‘Kem belajar’ tersebut dipercayai sebagai salah satu pusat tahanan yang banyak ditubuhkan di Xinjiang, dan menempatkan sejuta etnik Uighur dan minoriti Islam lain, berdasarkan perkiraan yang dipetik oleh panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kehilangan Shairbek jelas menunjukkan ‘perangkap’ China telah meluas dan kini ‘menghukum’ sesiapa yang mempunyai hubungan dengan Kyrgyzstan.
Bulan lalu, Asyla dan beberapa yang lain membentuk kumpulan pelobi yang dipanggil Jawatankuasa untuk Melindungi Rakyat Kyrgyzstan di China.
Mereka mendesak kerajaan menekan Beijing mengenai kem tahanan tersebut.
Pegawai-pegawai China menyifatkan kem itu sebagai ‘pusat pendidikan vokasional’ bagi mereka yang terdedah kepada ekstremisme Islam.
Kumpulan hak asasi manusia berkata, wilayah itu kini menjadi sebuah ‘negara polis’.
Seyitbek Is Uulu, seorang penduduk Kyrgyzstan berusia 30 tahun berkata, dia melahirkan rasa sedih selepas enam ahli keluarganya ditahan di Xinjiang.
“Mereka adalah orang biasa,” katanya yang terputus hubungan sejak tahun lepas.
Walaupun Kyrgyzstan masih ‘teragak-agak’ untuk berdepan dengan China, Amerika Syarikat dan Jerman telah meminta akses Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Xinjiang.
Beijing sebelum ini menafikan wujudnya kem pendidikan semula itu tetapi kini membela kewujudannya sebagai ‘pusat pendidikan’. – AFP










