Hikmah, mesej #Daulathimpunan812 - Utusan Malaysia

Hikmah, mesej #Daulathimpunan812

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIMPUNAN pada 8 Disember lalu membawa mesej ‘tersembunyi’ yang berbeza-beza walau pun disebut bertujuan untuk menyatakan ‘kesyukuran’.

Dari fakta yang saya perhatikan, mesej sebenarnya adalah pelbagai, antaranya yang saya rumuskan:

1. Untuk menyedarkan orang Melayu-Islam tentang cabaran yang perlu mereka atasi

2. Untuk mengingatkan masyarakat berbilang agama di Malaysia, supaya masing-masing mempunyai rasa ikhlas dan jujur dalam negara ini, tanpa mencuba untuk merosakkan akidah dan pegangan para penganut agama lain.

Zaman ini ketika kuasa dan ekonomi memainkan peranan penting dalam kehidupan, maka ‘agam’ juga sering menjadi barangan komoditi yang merupakan ‘barang rebutan’.

Tetapi bagi saya, dalam mempertikaikan sesuatu terutamanya ketika menyorok kelemahan kita yang mengakibatkan kita terlalu banyak menerima cabaran yang disedari atau tidak disedari, maka perbuatan menuding jari dan mempersalahkan orang lain adalah suatu tindakan tidak berkesan.

Kalau kita sendiri yang lemah, perkuatkanlah diri kita dulu. Kalau kita miskin sehingga orang lain sanggup membeli akidah kita juga, maka perkayakanlah masyarakat sendiri supaya tidak menjadi terlalu kelaparan sehingga akan menelan apa saja yang disuapkan orang ke dalam mulut kita.

Kalau pemimpin kita khususnya pemimpin politik berpecah belah kerana politik kepartian, taksub dan fanatik kepada ideologi politik masing-masing sebegitu rupa sehingga sanggup menjualkan maruah agama dan kehormatannya juga, maka apakah tindakan yang seharusnya dimainkan oleh majoriti rakyat negara ini. Ya, yang tidak berminat dan tidak terlibat dengan politiking dan taksub partisan yang terlalu sempit.

Lihatlah di sekeliling kita, kondominium terdiri seperti cendawan selepas musim hujan, kompleks membeli belah tersergam besar di hadapan mata kita, restoran dan kedai makan moden yang menarik mata, gudang pakaian dan perabot berkonsepkan rekaan antarabangsa, kereta besar menjalar ke sana ke mari.

Setelah itu, pergilah pula ke kampung pedalaman, maka apakah yang kita lihat? Mungkin sebuah dua kedai kecil yang kehabisan barang, sebuah dua kedai makan yang hanya menghidangkan sambal belacan, petai dan nasi campur.

Dan mungkin sebuah dua pejabat usang menempatkan beberapa orang yang sedang bermain dam, atau mungkin sebuah dua kedai elektronik yang menjual peti televisyen atau peti sejuk dan dapur elektrik lama.

Kalau beginilah keadaannya, kenapakah kita harus ‘memberontak’ apabila kita lemah dan terdesak? Kenapa kita harus marah sekiranya orang lain menghimpit dan menolak kita ke tepi? Apakah yang ada lagi pada kita untuk digunakan bagi mempertahankan diri dalam keadaan ini, termasuk mempertahankan akidah dan syariah kita?

Himpunan ‘setengah juta orang’ mestilah dibajakan dengan agenda, deklarasi, resolusi, perjuangan yang strategis dan visi pembangunan ummah yang jauh ke depan, melintasi politik partisan dan konsep serta tasawwur Islam yang tidak disempitkan.

Hanya dengan ‘ijmak’ kita sendiri, barulah kita akan dapat mencarikan formula kukuh dan praktikal bagi mencapai objektif apa-apa yang saya sebutkan dalam para terakhir rencana ini.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×