KAMPAR 17 Dis. – Remaja lelaki berusia 13 tahun yang disyaki menghamilkan kakak kandungnya ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di sini itu ditahan reman bermula hari ini sehingga Jumaat depan.
Katanya, siasatan terhadap remaja terbabit dijalankan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.
“Buat masa ini, kakak suspek berusia 15 tahun dan bayinya masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
“Dua beranak itu akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas mereka dibenarkan keluar dari hospital,” katanya, di sini hari ini.
Akhbar semalam melaporkan, seorang remaja perempuan melahirkan seorang bayi perempuan dalam tandas di rumahnya di Taman Diawan di sini pada pukul 3.30 petang, kelmarin.
Remaja itu dan bayi yang disyaki hasil perbuatan sumbang mahram dengan adik lelakinya itu dibawa ke Hospital Kampar untuk rawatan sebelum dipindahkan ke HPRB ekoran kehilangan banyak darah.
Soal siasat terhadap mangsa dan suspek mengaku mereka telah beberapa kali melakukan hubungan seks sejak Mei lalu dengan mangsa sendiri tidak mengetahui dia sedang hamil ekoran perbuatan tersebut. – UTUSAN ONLINE










