KOTA BHARU 17 Dis. – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengakui badan induk itu perlu bekerja lebih keras mendapatkan tajaan bagi menggerakkan pasukan The Red Wariors (TRW) dalam saingan Liga Premier musim 2019.
Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pada musim 2019, Kafa memerlukan tajaan berjumlah RM5 juta untuk menampung keseluruhan perbelanjaan pasukan.
Menurutnya, setakat ini Kafa sudah mempunyai tajaan berjumlah RM2 juta merangkumi wang tunai dan barangan kelengkapan pasukan berupa jersi serta peralatan sukan.
“Kita masih perlukan RM3 juta, jadi saya mempelawa anak-anak Kelantan atau syarikat korporat yang berminat supaya segera menghubungi Kafa.
“Dengan ruang masa yang ada ketika ini, Kafa tidak boleh berpeluk tubuh, sebaliknya perlu bekerja lebih keras untuk memenuhi nilai keperluan perbelanjaan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan Pasukan Kelantan FA, di sini hari ini.
Bibi Ramjani memberitahu, beliau lega apabila dua syarikat menyatakan hasrat untuk menjadi penaja utama Kelantan 2019.
Katanya, namun begitu perkara tersebut masih lagi dalam proses perbincangan dan tiada sebarang kata putus dibuat setakat ini.
“Kafa sedikit lega apabila penaja musim lalu Yakult (M) Sdn. Bhd mahu menaja pemain import untuk beraksi bersama Kelantan.
“Jadi, kita memerlukan dua lagi pemain import untuk melengkapkan kekuatan pasukan selepas Cassio De Jesus sah kekal bersama Kafa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










