Datuk terima ugutan sebelum kenderaan ditembak - Utusan Malaysia

Datuk terima ugutan sebelum kenderaan ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk menerima satu nota ugutan yang diletakkan di cermin hadapan kenderaan utility sukan (SUV) miliknya sebelum kenderaan tersebut ditembak dua lelaki yang menunggang motosikal awal pagi tadi. 

Dalam kejadian pukul 6.56 pagi itu, ahli perniagaan tersebut bagaimanapun selamat ketika kejadian tembakan dilepaskan ekoran dia berada di dalam sebuah restoran berhampiran untuk bersarapan. 

Terdahulu, mangsa yang juga pemilik sebuah kedai dobi itu menerima nota ugutan bertulis ‘Nyawa terakhir’ yang diselitkan di cermin kenderaan jenis Mitsubishi Outlander itu. 

Difahamkan, nota berkenaan diterima lelaki itu ketika dia meletakkan kenderaannya berhampiran sebuah surau untuk menunaikan solat Subuh. 

Dia juga sebelum ini pernah menerima dua kali nota ugutan yang meminta wang sebanyak RM3 juta. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. 

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan Seksyen 385 kanun sama kerana melakukan pemerasan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×