SEREMBAN 17 Dis. – Negeri Sembilan hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri.
Separuh daripada bayaran itu akan dibuat pada minggu pertama Januari 2019 manakala bakinya akan dibayar seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun semasa membentangkan Belanjawan 2019 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Beliau berkata, bantuan itu diberikan sebagai menghargai khidmat bakti dan pengorbanan kakitangan awam di negeri ini.
“Kerajaan negeri berharap BKK ini akan memberikan dorongan dan galakan kepada penjawat awam untuk melaksanakan tugas dengan lebih dedikasi dan cemerlang pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya, seramai 3,560 kakitangan awam di negeri akan menikmati BKK itu. – UTUSAN ONLINE











