LONDON 17 Dis. – Kevin De Bruyne percaya Liverpool akan terus memberikan tekanan kepada juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City untuk perebutan kejuaraan meskipun hakikatnya pemain tengah itu tidak bimbang dengan prestasi semasa The Reds.
Liverpool kembali merampas kedudukan peneraju liga selepas menang 3-1 ke atas seteru tradisi mereka, Manchester United di Anfield.
Dua jaringan Xherdan Shaqiri pada separuh masa kedua membolehkan Liverpool mengatasi City dengan kelebihan satu mata di puncak liga dan De Bruyne berkata, pasukan kendalian Pep Guardiola sudah bersedia untuk berjuang.
“Saya tidak tahu kenapa mereka tidak boleh kekal dan saya rasa mereka akan beri tekanan sehingga akhir musim.
“Sejujurnya saya tidak bimbang dengan mereka. Mereka akan lakukan apa yang boleh dan kami akan cuba menang perlawanan kami.
“Mereka cuba mengikut rentak kami. Bagaimanapun, masih terlalu awal. Tiada tekanan. Kami perlu teruskan apa yang kami sedang lakukan,” katanya.
Liverpool menjadi satu-satunya pasukan yang kekal tanpa kalah dalam saingan liga musim ini selepas City tewas kepada Chelsea di Stamford Bridge, awal bulan ini.
De Bruyne yang membuat penampilan semula selepas pulih daripada kecederaan masuk sebagai pemain gantian ketika City menang 3-1 di laman sendiri ke atas Everton.
“Awak tahu keadaan sini. Awak boleh kalah tiga perlawanan dalam seminggu dan semua akan bercakap mengenainya.
“Perjalanan masih panjang. Banyak perkara akan memberi kesan kepada pasukan termasuk kecederaan,” katanya.- AGENSI










