Tambah baik khidmat jayakan Tahun Melawat Melaka - Utusan Malaysia

Tambah baik khidmat jayakan Tahun Melawat Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 17 Dis. – Pemain industri pelancongan di negeri ini perlu menambah baik mutu perkhidmatan masing-masing bagi membantu kerajaan negeri menjayakan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019, kata Ketua Menteri Adly Zahari.


Adly Zahari

Beliau berkata peranan pemain industri pelancongan seperti agensi pelancongan, peniaga, pengusaha-pengusaha hotel, rumah inap dan sebagainya amat penting kerana ia membawa imej pelancongan negeri sekali gus dapat menarik lebih banyak kunjungan pengunjung.

“Kita telah bertemu dan memaklumkan agenda serta aktiviti bakal dilaksanakan sepanjang TMM itu sejak Ogos lalu dan berharap mereka dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong-pelancong.


“Kecekapan dan keberkesanan mutu perkhidmatan yang baik berupaya memberi jaminan kepada peningkatan ekonomi melalui industri pelancongan sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat secara terus,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khas dan dana kepada pelajar, kaunselor dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sempena Krismas anjuran Hotel The Settlement, Ujong Pasir di sini hari ini.


Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan juga telah bersedia bagi menghadapi TMM selain giat melakukan kerja naik taraf kemudahan, pengindahan landskap serta perkhidmatan lain menghadapi acara terbesar negeri ini.

Adly berkata turut diberi tumpuan ialah aspek kemudahan awam di sekitar kawasan pelancongan termasuk tandas awam dengan menambah jumlah kemudahan itu di kawasan-kawasan tumpuan secara berperingkat.


“Sejak Oktober kita sudah berbincang dengan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan beliau bersama pihak PBT (pihak berkuasa tempatan) telah ambil tindakan bagi memastikan tandas awam yang sedia ada berfungsi dengan baik,” katanya.

Pada majlis penyampaian sumbangan itu seramai 50 pelajar kurang berkemampuan dari lima buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SKJC) Fong 2, Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SKJT) Rumbia, Sekolah Kebangsaan Banda Hilir, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Canossa Convent dan SMK Padang Temu terpilih menerima bantuan tersebut.

Sementara itu Pengarah Hotel The Settlement, Billy Leong berkata bagi mendapatkan dana tersebut pihak hotel telah mengadakan Jualan Jumbo Amal Hari Natal bermula 14 hingga 16 Disember lalu yang berjaya mengumpul sejumlah RM35,000.
- BERNAMA



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×