TEHERAN 14 Dis. – Rejim Israel disifatkan sebagai ‘spesies’ yang membawa ‘kehancuran’ serta keadaan huru-hara di rantau Asia Barat.
Perkara itu ditegaskan oleh Kementerian Luar Iran melalui jurucakapnya, Bahram Qassemi sambil menambah ‘mimpi buruk’ Zionis terhadap Iran tidak akan menjadi kenyataan.

Menurut laporan Press TV, Bahram membuat dakwaan tersebut sebagai maklum balas terhadap kenyataan Presiden Israel, Benjamin Netanyahu yang memberi amaran tentang kesediaan pihaknya untuk melancarkan serangan terhadap Iran jika keselamatan rejim itu diancam.
“Rejim Zionis, yang menjadi simbol khayalan, kebencian dan dendam tidak akan berani mengambil langkah sedemikian dan hanya mampu mengucapkan ayat-ayat keterlaluan serta memalukan.
“Secara sedar atau tidak, ancaman ketenteraan yang mereka momokkan terhadap sebuah negara bersejarah bakal menjadi isu yang akan diikuti dalam forum undang-undang dan antarabangsa,” katanya.
Kerajaan Iran menempelak sikap Israel yang menyatakan kebimbangan tentang kestabilan rantau berkenaan sedangkan rejim tersebut menjadi punca kepada kucar-kacir dan huru-hara.
Dalam pada itu, Bahram memberi amaran Iran tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Israel sekiranya rejim tersebut berterusan melakukan provokasi untuk menyerang.










