SEPANG: Kementerian Pengangkutan menegaskan, Batik Air yang sebelum itu dikenali sebagai Malindo Air, bukanlah syarikat penerbangan baharu beroperasi di negara ini.
Sebaliknya menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, operator komersial awam itu memang berdaftar sebagai syarikat Malaysia dan berpangkalan di negara ini sejak 2013.
“Tiada isu pun, malahan jika ia bakal menjadikan sektor penerbangan lebih ekonomi, kenapa tidak, walhal rakyat berhak merasai perkhidmatan terbaik dari segi kesalinghubungan lokasi.
“Lagipun kita bukan hidup dalam planet lain tetapi dalam dunia yang sama dan saya sebagai menteri mengalu-alukan operasi banyak operator,” jelasnya pada sidang akhbar selepas merasmikan penjenamaan semula Batik Air setelah hampir sedekad dikenali sebagai Malindo Air yang merupakan sebahagian daripada syarikat di bawah Lion Air Group.
Beliau turut melancarkan pesawat B737-8 Batik Air yang julung kali beroperasi di negara ini setelah menerima kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail meluahkan kebimbangan pemberian Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kepada dua syarikat.
Ia susulan tindakan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) meluluskan SKS Airways dan MYAirline Sdn. Bhd. yang memberi persaingan sengit bagi Malaysia Airlines dan AirAsia.
Mengulas lanjut, Ka Siong menyangkal tanggapan MAG itu dan mengesahkan Batik Air ialah operator tempatan dan diberi ASL oleh Mavcom setelah melalui proses penilaian amat ketat.
“Saya melihat dari segi potensi jangka panjang yang beri manfaat besar bukan sahaja kepada KLIA, malah Malaysia sebagai hab udara dan inilah yang kerajaan idam-idamkan,” jelasnya.
Beliau memberi contoh senario di rantau Asia Barat apabila menjadi tumpuan banyak syarikat penerbangan seluruh dunia dan sekali gus memberi limpahan ekonomi dari segi pelancongan.
Justeru ujarnya, Mavcom menilai ASL dari sudut komersial setelah Batik Air melepasi segala saringan ditetapkan oleh CAAM termasuk isu teknikal dengan kelulusan diberikan bukan mudah.
Dalam nada berjenaka, beliau memaklumkan bahawa setakat ini belum ada lagi mana-mana syarikat penerbangan baharu yang tampil memohon lesen tersebut kerana tahu ia amat sukar.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pihak kementerian memahami kebimbangan pemain sedia ada iaitu Malaysia Airlines dan AirAsia namun setiap operator ada kekuatan tersendiri.
Sehubungan itu, Ka Siong meminta operator berkenaan agar lebih realistik dengan suasana semasa sudah pun jauh berbeza ketika dunia beralih kepada fasa pemulihan pasca pandemik.
“Maka, jangan risau dengan Batik Air sebab ia bukan syarikat baru bertapak di Malaysia tetapi cuma tukar jenama sahaja dan kerajaan pun mahu semua operator boleh hidup,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau optimis persaingan akan menjadi lebih sihat terutama isu tambang yang tidak dikawal dengan hanya ditetapkan berdasarkan trend penawaran dan permintaan.
Situasi jangka panjang itu bakal memberi faedah besar kepada penumpang terutama kalangan B40 yang memerlukan perkhidmatan penerbangan khususnya ketika waktu puncak. – UTUSAN










