KUALA LUMPUR – Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan dasar pendidikan suatu ketika dahulu dan ia tidak akan dilaksanakan semula.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kementeriannya akan berusaha mencari inisiatif baharu bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara selain menyediakan para pelajar yang mampu bersaing dalam Revolusi 4.0.
“PPSMI itu dahulu, kita akan buat sesuatu yang baru untuk tingkatkan kualiti pendidikan,” katanya kepada pemberita khabar angin yang mendakwa Kabinet mempunyai hasrat untuk melaksanakan semula PPSMI.
Dalam perkembangan sama, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam menjelaskan, usaha itu bagi membolehkan para pelajar dilengkapkan dengan segala ilmu pengetahuan yang berkualiti bagi membolehkan mereka bersedia menghadapi masa depan.
“Kita akan pastikan anak-anak murid kita akan sedia untuk hadapi Revolusi 4.0 dan mereka perlu dilengkapi ilmu-ilmu yang membuatkan mereka sebagai kalis masa depan.
“Kita ingin ajak semua pihak bantu tingkatkan penguasaan anak-anak kita terhadap ilmu teknologi semasa dan membolehkan mereka untuk berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Kelmarin, Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan membantah jika terdapat perancangan untuk melaksanakan semula PPSMI.
Maklumat yang diperolehi Utusan Online Rabu lalu daripada sumber yang boleh dipercayai ialah Kabinet dikhabarkan telah bersetuju untuk melaksanakan semula dasar PPSMI.
Terdahulu, pada April lalu, kerajaan Sarawak bersetuju melaksanakan PPSMI di negeri tersebut dan menjadi negeri pertama menguatkuasakannya seperti yang dikehendaki Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN ONLINE











