LONDON – Manchester City bersedia untuk mengetepikan saingan Manchester United bagi mendapatkan khidmat Harry Maguire dengan nilai 65 juta pound (RM342 juta), musim panas ini.
Kedua-dua kelab Manchester itu memburu bintang England, Maguire, tetapi juara Liga Perdana Inggeris, City mengorak selangkah ke depan berbanding United bagi mendapatkan tandatangan pemain tersebut.
Maguire bersedia untuk beralih angin selepas dua tahun di Leicester dan difahamkan City adalah destinasi pilihan bagi pemain berusia 26 tahun itu, kerana berpeluang bermain di bawah bimbingan Pep Guardiola.
Bos City, Guardiola sememangnya sedang mencari bek tengah bagi menggantikan Vincent Kompany dan melihat Maguire sebagai pengganti paling sesuai mengisi kekosongan tempat bekas kapten mereka itu, yang meninggalkan kelab sebaik musim berakhir.
United turut berminat bagi mendapatkan khidmat Maguire, setelah bos baharu, Ole Gunnar Solskjaer melakukan rombakan besar-besaran ke atas skuad sedia ada, tetapi Red Devils gagal memenuhi tuntutan harga yang dimahukan Leicester.
Walaupun Leicester dikatakan menilai Maguire pada harga 80 juta pound (RM421 juta), difahamkan mereka sanggup menerima yuran perpindahan bernilai 65 juta pound, yang mana City bersedia membayar jumlah tersebut kepada Foxes.
Perpindahan tersebut bakal menjadikan Maguire sebagai pemain yang mencatat rekod di kelab berkenaan, memintas bekas rakan sepasukannya, Riyad Mahrez yang dibeli pada harga 60 juta pound (RM315 juta), musim panas lalu.
Maguire juga akan menyertai rakan sepasukannya dalam skuad England, Kyle Walker, John Stones, Fabian Delph dan Raheem Sterling di City. – AGENSI











