Keraian solo Nazim Othman - Utusan Malaysia

Keraian solo Nazim Othman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tanggal 1 Ramadan tahun lalu, peminat seni hiburan tanah air dikejutkan dengan berita perceraian yang dimuat naik oleh pelakon, Nazim Othman dalam Instagram sewaktu jam sudah menunjukkan tinggal beberapa minit sahaja lagi untuk berbuka.

Rumah tangga yang dibina dengan selebriti, Bella Dally itu gagal dipertahankan selepas hampir dua tahun mereka bergelar suami isteri. Kini, selepas hampir setahun peristiwa itu berlaku, kedua-duanya sudah meneruskan kehidupan seperti biasa.

Bella sudah pun kembali bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan Januari lalu, manakala Nazim masih lagi selesa kekal dengan gelaran dudanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak pernah berasa tertekan apabila bekas isterinya sudah bertemu pengganti, pelakon drama Akulah Balqis itu tumpang gembira kerana Bella bertemu dengan lelaki yang kini boleh membahagiakannya.

“Saya okey sahaja, tidak berasa malu atau tertekan apabila bekas isteri sudah bernikah lain.

“Itu rezeki dia kerana bertemu jodoh awal. Bagi saya pula, berkahwin semula bukan dalam perancangan utama buat masa sekarang,”katanya sewaktu ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan, baru-baru ini.

Cuti lama

Jika tahun lepas, selepas berita perceraiannya diumumkan, lelaki berusia 35 tahun itu hanya pulang beraya di kampung di Kota Tinggi, Johor selama dua hari sahaja kerana mahu mengelak pertanyaan tentang kegagalan rumah tangganya.

Katanya, pada waktu itu dia masih belum bersedia dengan soalan-soalan ‘panas’ jadi, dia hanya balik untuk bertemu keluarga dan terus meninggalkan kampung halaman pada hari raya ketiga.

Berbeza dengan tahun ini, Nazim memilih beraya lebih lama apabila memperuntukkan cuti seminggu berada di kampung dan bertemu dengan sanak-saudara.

“Sebenarnya tahun lepas ketika saya pulang beraya, tiada orang pun yang bertanya tentang kes cerai, cuma saya yang segan sendiri.

“Kadang-kadang kita terlalu memikirkan sesuatu perkara sedangkan orang sekeliling sangat memahami,” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, selepas sambutan raya, Nazim akan terus bercuti di luar negara. Selepas Hong Kong, dia kini berada di Turki.

“Sejak dahulu lagi, saya memang seorang yang suka mengembara. Memang ada peminat yang hairan kenapa saya asyik pergi bercuti sedangkan mereka jarang lihat saya bekerja.

“Sebenarnya, sebagai seorang selebriti, ada kelebihan seperti kerjasama dengan pihak hotel atau sebagainya yang mengurangkan kos perbelanjaan,”tuturnya sambil tertawa kecil.

Jodoh

Masih mahu cuba menyelami hati penyanyi lagu Cerita Kita ini, dia mengakui bahawa ada rakan-rakan terdekat yang cuba mencari jodoh buatnya kerana mahu lihat dia kembali berteman.

Namun begitu, Nazim menolak cadangan tersebut dengan baik kerana mahu jodohnya hadir sendiri tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak.

Dia tidak menafikan ada kalanya rasa sunyi menyelubungi hatinya. Hal itu akan terjadi terutama jika dia pulang ke rumah lewat pagi dan melihat rumah kosong tidak berpenghuni, bagaimanapun perasaan itu tidak hadir selalu.

“Saya sudah boleh membiasakan diri dengan kehidupan solo ini, jadi tiada istilah terdesak untuk mencari pengganti. Alhamdulillah, jika ada. Jika tidak, saya masih bahagia.

“Tidak rasa terhina pun bergelar duda kerana apa yang penting, saya tidak menyusahkan sesiapa,” tegasnya lagi.

Dua tahun menyambut Aidilfitri sendirian, Nazim Othman tidak merasakan sebarang perbezaan kerana sudah boleh menyesuaikan diri dengan gelaran duda yang dipegangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini