KUALA LUMPUR – Lebih 5,000 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Stadium Petaling Jaya, Jalan SS7/15, Kelana Jaya dekat sini, hari ini.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar berkata, tahun ini majlis rumah terbuka julung kali diadakan pihak berkuasa tempatan berkenaan secara besar-besaran melibatkan penduduk bandar raya itu.
Menurutnya, sebelum ini MBPJ hanya mengadakan majlis rumah terbuka di ibu pejabat dalam kalangan kakitangan, Ahli Majlis serta rakan-rakan media.
“Alhamdulillah, pada awalnya kami hanya menjangkakan seramai 5,000 tetamu akan hadir namun kemeriahan dapat dirasai apabila menerima tetamu lebih daripada jumlah itu di stadium ini,” katanya kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka itu.
Pelbagai juadah antaranya sate, ketupat, lemang, rendang dan nasi impit disajikan kepada tetamu yang hadir.
Selain menikmati juadah, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan artis jemputan antaranya Indah Ruhaila, kumpulan Floor 88 dan Ezad Lazim.
Dalam majlis itu juga, Mohd. Sayuthi turut menyerahkan wang tunai RM500 kepada 10 pemenang bazar Ramadan yang mematuhi syarat lesen yang ditetapkan MBPJ. – UTUSAN ONLINE










