BUTTERWORTH – Sebanyak tiga sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah ini berjaya ditumpaskan dalam beberapa serbuan oleh sepasukan polis Seberang Perai Utara (SPU) dalam tempoh kurang 24 jam bermula semalam dan awal pagi tadi.
Dalam serbuan itu, seramai empat lelaki berusia antara 22 hingga 36 tahun berjaya ditahan dengan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM159,840.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam serbuan pertama di Jalan Raja Uda di sini pukul 3.30 petang semalam, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun bersama-sama dadah jenis ketamin seberat 740 gram (g) serta 370 biji pil ekstasi dan 128 pil Eramin 5 bernilai RM126,300.
Tambahnya, dalam serbuan kedua di sebuah pangsapuri di Taman Sukaria kira-kira pukul 3 pagi tadi, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan bersama dadah disyaki heroin seberat 452g bernilai RM22,600.
“Dalam tempoh sejam selepas itu pula, kita berjaya menahan dua lagi lelaki berusia 22 dan 24 tahun ketika menyerbu sebuah pangsapuri di Mak Mandin.
“Dalam serbuan itu, sebanyak 459.5g dadah disyaki ganja dan 35g heroin yang kesemuanya bernilai RM10,940 dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, ketiga-tiga sindiket itu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dan mempunyai pasaran sendiri untuk mengedarkan dadah di sekitar negeri ini.
Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE










