KUALA LUMPUR – Pasaran modal Malaysia masih berdaya tahan dengan mudah tunai mencukupi dan mampu menampan aktiviti jualan asing besar-besaran, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar.
Mengikut maklumat MIDF Research, aliran keluar dana asing adalah sebanyak RM4.86 bilion setakat tahun ini.
Syed Zaid berkata, asas-asas makro ekonomi Malaysia juga kekal kukuh walaupun dalam persekitaran ketidaktentuan pasaran terutama yang berkaitan pertikaian dagangan Amerika Syarikat (AS)-China serta jangkaan bahawa Rizab Persekutuan akan menurunkan kadar faedah.
“Kalangan broker saham dan pihak perantara berada pada kedudukan baik dan kita akan terus berusaha untuk melakukan penambahbaikan. Ketika mereka berusaha meningkatkan disiplin di peringkat masing-masing, kita juga akan membenarkan lebih banyak kelonggaran bagi memastikan pasaran lebih berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan laporan penyelidikan bersama pertama Institut Penyelidikan Pasaran Modal (ICMR) dan Institut Penyelidikan Pasaran Modal Nomura (NICMR) yang berpangkalan di Jepun, di sini hari ini.
Mengulas selanjutnya, Syed Zaid berkata, walaupun pertikaian perdagangan antara AS-China tidak menunjukkan sebarang petanda akan berakhir (dalam masa terdekat ini), Malaysia sebaliknya masih terus kekal berdaya tahan.
“Walaupun kita menyaksikan aliran penyusutan pendapatan korporat, namun dari segi nilai, pasaran ekuiti ini masih baik untuk para pelabur asing,” katanya.
Dalam satu kenyataan bersama baru-baru ini, SC dan Bursa Malaysia menyatakan bahawa perantara pasaran modal berlesen mempunyai modal serta kedudukan modal tunai mencukupi manakala aspek dedahan margin pelanggan turut diurus dengan baik.
Secara purata, pasaran ekuiti tempatan dapat mengumpul sejumlah RM16 bilion setahun sejak lima tahun lepas dan permodalan pasaran ekuiti telah meningkat kepada RM1.7 trilion setakat akhir April 2019.
Menurut SC, pertumbuhan aset industri di bawah pengurusan dana Malaysia yang sihat dan berjumlah RM786 bilion ketika ini, turut membawa kepada penjimatan ketara serta pengembangan kepada segmen lain pasaran. – BERNAMA










