KUANTAN – Hubungan antara Pas dan UMNO yang semakin baik membuka ruang kepada kedua-dua buah parti itu untuk bersatu dan bercantum menentang musuh sebenar mereka.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ada ahli Pas yang langsung tidak boleh berbaik-baik dengan ahli UMNO namun hubungan kini semakin baik.
“Ada orang Pas tak boleh sebut UMNO namun pujuk punya pujuk, Alhamdulillah dah sejuk mulai Muktamar Tahunan Pas di Terengganu tahun lalu. Sekarang ia makin sejuk dan ruang untuk kita bersatu dan bercantum ada di hadapan kita.
“Ini kerana keinsafan daripada UMNO yang sudah menyedari siapa musuh utama. Dulu UMNO kata Pas, Pas kata UMNO. Di celah-celah itu lahirlah singa-singa atau buaya-buaya dan macam-macam untuk menghancurkan kita,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Ke-58 di Wisma Belia di Kuantan, Pahang hari ini. – UTUSAN ONLINE










