PETALING JAYA – Sepasang suami isteri bersama seorang remaja didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera dua kanak-kanak di sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong pada Sabtu lalu.
Tertuduh S. Gopal, 33, dan isterinya R. Rani, 30, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan selepas pertuduhan berkenaan selesai dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Sementara itu, seorang emaja perempuan berumur 13 tahun yang berada di luar kandang tertuduh sewaktu tuduhan dibacakan terhadapnya mengaku bersalah atas dua pertuduhan.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua dikemukakan, mereka didakwa melakukan penganiyaan terhadap dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia enam dan tujuh tahun dengan memukul dua beradik itu menggunakan kayu sekuriti, paip getah dan wayar kabel pada bahagian kepala, muka, badan, tangan dan kaki selain meletakkan garpu serta pisau panas pada bahagian punggung, tangan, kaki dan tapak kaki.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong dekat sini pada pukul 2.45 petang pada 15 Jun lalu.
Mengikut dua pertuduhan lain yang dihadapi pasangan itu, mereka didakwa melakukan pengabaian terhadap kedua-dua mangsa sehingga menyebabkan dua beradik itu mengalami kekurangan zat yang kronik termasuk anemia di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Gin Han dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










