PUTRAJAYA – Sesiapa sahaja bebas memberi cadangan mengenai kedudukan anggota Kabinet dalam kerajaan termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, kata Dr. Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, kata putus bagaimanapun terletak pada beliau sama ada untuk menerima cadangan itu atau sebaliknya.
Ini termasuk desakan beberapa pihak supaya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melepaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mereka boleh membuat cadangan, sama ada saya terima (atau sebaliknya) adalah perkara lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Yang turut hadir, Wan Azizah Wan Ismail, Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli yang juga Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor mencadangkan Wan Azizah menyerahkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada suaminya.
Mohd. Shaid berkata, peralihan kuasa pada masa ini tidak masuk akal sama sekali memandangkan jawatan Timbalan Perdana Menteri masih dipegang Wan Azizah.
Bagaimanapun, Wan Azizah dalam reaksinya sebelum ini berkata, tidak timbul isu untuk melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada Anwar.
Wan Azizah dilaporkan berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana beliau akan melepaskan jawatan selepas Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.
Malah kata Wan Azizah, dalam perjanjian sebelum ini yang dipersetujui beliau akan menjadi timbalan kepada Dr. Mahathir.
Katanya, perjanjian itu juga dipersetujui beliau kekal Timbalan Perdana Menteri walaupun Anwar dilantik Presiden PKR. – UTUSAN ONLINE










