MERSING – Cik Puan Muda Pahang, Cik Puan Muda Julita Aishah Abdul Latiff tercedera selepas kenderaan dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 25 Jalan Kota Tinggi-Mersing dekat sini kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Akibat kemalangan itu, Cik Puan Muda Julita Aisyah mengalami kecederaan di bahagian pinggang.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, kenderaan jenis Toyota Alphard dinaikinya bertembung dengan sebuah lori jenis Isuzu.
“Pemandu kenderaan pelbagai guna itu, Mohd. Shafiq Shahdan Mohd. Ali, 24, serta pembantu rumah warga Filipina tidak mengalami sebarang cedera.
“Pemandu lori berkenaan, Masod Daud, 53, mengalami kecederaan patah kaki kanan akibat kemalangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Tambah beliau, ketika kejadian Cik Puan Muda Julita Aisyah dalam perjalanan ke Kuantan dari Johor Bahru. – UTUSAN ONLINE










