KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengadakan mesyuarat tergempar Sabtu ini bagi membincangkan desakan tujuh persatuan bola sepak jajahan (PBJ) supaya kongres agung luar biasa (EGM) diadakan sepecat mungkin.
Timbalan Presiden KAFA Datuk Seri Affandi Hamzah ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini berkata, beliau sudah mengarahkan urusetia badan induk itu memaklumkan perkara tersebut kepada barisan exco.
“Urusetia KAFA telah hubungi saya dan memaklumkan sudah menerima memorandum itu.
“Hanya isu berkaitan dengan memorandum sahaja yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu nanti,” katanya.
Pagi ini tujuh ahli gabungan KAFA menyerahkan memorandum bagi mendesak badan induk itu segera mengadakan EGM.
Langkah itu berikutan Bibi Ramjani Ilias Khan melepaskan jawatan sebagai Presiden KAFA menerusi hantaran facebooknya tanpa mengemukakan surat rasmi kepada badan induk tersebut.
Memorandum itu diserahkan oleh wakil gabungan tersebut yang diketuai oleh Yang Dipertua PBJ Tanah Merah Kamarudin Mohamad di Wisma KAFA, Chicha Tinggi.
Setiausaha Ekeskutif KAFA Ariff Hassan menerima memorandum tersebut bagi mewakili badan induk itu. – UTUSAN ONLINE










